Sidang Parlimen 13 Julai jadi penentu

Hassan Saad

BALING– Parlimen dijangka boleh dibubarkan sekiranya undi menukar Speaker dan timbalannya dalam Sidang Parlimen pada 13 Julai ini tidak menyebelahi Perikatan Nasional (PN).

Yang Dipertua PAS Baling, Hassan Saad, keputusan pada sidang berkenaan penentu kepada tarikh PRU-15.

Menurutnya, seperti amalan biasa, PRU akan diadakan dua bulan selepas Parlimen dibubarkan.

“Speaker iaitu Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming datang dari Amanah dan DAP.

“Atas faktor itu Speaker dan timbalannya perlu ditukar. Mereka tidak sesuai dan tidak selari dengan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan kepada kira-kira 30 penduduk di Markas PAS Kampung Jernang, hari ini.

Majlis tersebut menghimpun pemimpin dan penyokong Maufakat Nasional iaitu PAS dan UMNO di peringkat cawangan buat kali pertama selepas PRU-14.

Hassan berkata, Mohammad Arif dan Kor Ming sepatutnya meletakkan jawatan daripada awal.

“Tetapi mereka tidak berbuat demikian menyebabkan pertukaran Speaker dan timbalannya perlu dibuat.

“Seandainya undian dalam Parlimen nanti tidak memihak PN, Parlimen dijangka dibubarkan bagi membolehkan PRU tahun ini.

Hassan Saad bercakap di hadapan penyokong Maufakat Nasional di Markas PAS Kampung Jernang hari ini

“Tindakan ini dibuat bagi membolehkan kerajaan yang mentadbir lebih stabil,” katanya.

Beliau berkata, jentera PAS dan UMNO terutamanya di Baling sudah bersiap sedia berdepan PRU-15.

Beliau turut berpesan nikmat kedamaian yang dianugerahkan ALLAH kepada penyokong kedua-dua parti dipelihara selepas bersengketa begitu lama.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.