ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM), Dato’ Dr Mustaffa Idrus menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan penyertaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU)-16 sekiranya mendapat sokongan dan mandat rakyat bagi memperjuangkan masa depan negara.
Menurut beliau, hasrat itu lahir daripada kebimbangan terhadap keadaan negara yang didakwa semakin terjejas akibat kegagalan segelintir pemimpin politik menunaikan janji serta lebih gemar menuding jari kepada pihak lain daripada melakukan muhasabah diri.
“Saya seorang yang membenci pemimpin politik yang hanya pandai berjanji, menuding keburukan orang lain tanpa menilai diri sendiri. Saya akan terus membuat teguran selagi hayat dikandung badan.
“Demi rakyat, bangsa, agama dan negara, saya akan terus menulis dan menegur,” katanya.
Beliau menegaskan, jika diberi peluang berada di pentas politik nasional, fokus utamanya adalah memperjuangkan kepentingan rakyat, memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu dan Islam serta memastikan kedaulatan negara terus dipelihara.
Selain itu, Dato’ Dr Mustaffa turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk komuniti Rohingya yang menurut beliau perlu ditangani secara tegas mengikut undang-undang demi menjaga keselamatan, kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara.
Beliau berpandangan bahawa sehingga kini kebanyakan pemimpin politik masih gagal mengemukakan idea yang benar-benar berkesan bagi menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin, sekali gus memerlukan pendekatan baharu yang lebih tegas, berani dan berpaksikan kepentingan negara.
“Setakat hari ini, saya melihat semua pemimpin politik gagal membawa idea yang benar-benar mampu menyelesaikan isu PATI.
“Negara memerlukan pemimpin yang lebih segar, berani dan sanggup bertindak demi mempertahankan kedaulatan Malaysia, bukan sekadar bercakap atau menuding jari,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani membuat keputusan, berintegriti dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik semata-mata.
“Negara ini mesti diselamatkan daripada kepimpinan yang gagal, tidak berintegriti dan hanya pandai berpolitik tanpa menyelesaikan masalah rakyat.
“Sudah tiba masanya rakyat memilih pemimpin yang benar-benar bekerja dan berani mempertahankan kepentingan negara,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply