BN menang besar PRK Slim, PAS ucap tahniah

KUALA LUMPUR-Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menzahirkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu amat bermakna buat Maufakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Tahniah atas kemenangan berturut-turut yang dicapai dalam Pilihan Raya Kecil DUN Slim pada hari ini.

“Kejayaan ini adalah amat bermakna terhadap Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, menandakan penerimaan rakyat pelbagai kaum di kawasan bandar dan luar bandar, sekaligus menuntut kita untuk terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan khidmat yang terbaik demi kesejahteraan negara dan rakyat,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menerusi keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris, calon BN iaitu Mohd Zaidi Aziz menang dengan majoriti apabila mendapat 13,060 undi.

Beliau menewaskan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran dengan 276 undi sekaligus memperoleh majoriti 10,945 undi .

PRK Slim diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat kesukaran bernafas pada 15 Julai lalu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.