NGO cadang kad pengenalan diperbaharui, bertulisan Jawi

SUNGAI PETANI- Kad pengenalan sedia ada wajar diperbaharui lebih sistematik dan mempunyai ciri-ciri keselamatan lebih tinggi.

Pengerusi Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, tindakan itu perlu susulan penjualan kad pengenalan Malaysia kepada warga asing oleh sindiket yang juga musuh nombor satu negara.

Menurutnya, kerajaan disaran mempertimbangkan cadangan itu demi kebaikan rakyat dan keselamatan negara.

“Hanya dengan cara ini kita dapat menghentikan jualan kad pengenalan yang asli dan palsu termasuk menyekat pengunaannya dalam kalangan warga asing,”katanya.

Tambahnya, PAMM juga mencadangkan kad pengenalan baru bertulisan Bahasa Jawi bagi mengembalikan semula identiti orang Melayu selain mengeratkan perpaduan kaum.

Beliau berkata, PAMM percaya lambakan pelancong China dan India yang gagal dikesan pihak berkuasa turut mengambil kesempatan di atas jualan kad pengenalan sedia ada.

“Sejak warga asing membanjiri tanah air dicintai, wujud pelbagai kes jenayah termasuk kewujudan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE).

“Itu belum lagi dicampur dengan perbuatan jenayah dilakukan warga China dan warga asing lain di negara ini. Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kedaulatan negara serta keselamatan rakyat.

“Malaysia bukan untuk pendatang haram. Semua pendatang tanpa izin perlu diusir segera,”katanya.

Mengulas isu berasingan, Mustaffa berkata, PAMM bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan kerajaan gelojoh kerana melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bersetuju dengan apa diperkatakan Najib Razak. Kita lihat terlalu banyak kelonggaran diberikan. PAMM harap kerajaan menilai semula keputusan dibuat”, katanya.

Artikel berkaitan:

http://rentas7.com/longgar-pkp-najib-tanya-kenapa-gelojoh-sangat/

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.