Kebangkitan orang Melayu hancurkan PH dan Amanah

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Situasi semasa politik negara memberikan gambaran politik Pakatan Harapan (PH) menuju kehancuran sepenuhnya.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, PH sukar untuk menang sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Menurutnya, kemasukan Bersatu ke dalam blok PAS dan UMNO menambahkan lagi kekuatan orang Melayu dan ia dilihat sangat ampuh untuk meruntuhkan blok PH dan DAP.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu.

“Kita tewas kerana perpecahan politik pada PRU14. Alhamdulillah ALLAH sedarkan kita betapa pentingnya kesatuan Melayu Islam. Hanya dengan Islam, benteng negara selamat daripada segala ancaman,”katanya hari ini.

Tambahnya, orang Melayu wajib mengkaji agenda di belakang perjuangan PH dan tidak menentang berdasarkan emosi semata-mata.

“Dalam dunia serba moden hari ini, apa yang memisahkan kita semua ialah ilmu. Tanpa ilmu kita mudah diperalatkan,”katanya.

Beliau berpandangan, parti seperti Amanah dijangka akan “pupus” dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pandangan saya ini berasaskan kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap Amanah sejak kebelakangan ini.

“Amanah gagal menunjukkan taring sebagai parti yang membela Islam ketika menjadi kerajaan di bawah PH tetapi seperti “lembu” kepada DAP,”katanya.

Beliau berkata, tindakan beberapa pemimpin Amanah ketika menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri dilihat menjejaskan imej parti itu sendiri.

“Saya malas nak sebut siapa mereka, tetapi orang akan tahu menteri Amanah mana yang bodoh dan lembik ketika dalam kerajaan,”katanya.

Mustaffa berkata, kebanyakan orang Melayu juga semakin sedar dan kenal siapa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebenar.

“Presiden PKR ini licik, beliau disanjung tinggi dalam ABIM (NGO) dan sebilangan besar orang Melayu.

“Tetapi itu dahulu, sekarang orang Melayu semakin meninggalkan Anwar kerana sikapnya yang gila kuasa. Tak pernah ada pemimpin dalam dunia lebih dua dekad “meratib” nak jadi Perdana Menteri,”katanya.

Tamat

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.