Dato’ Dr Mustaffa Mahu Bawa Perubahan Di Sungai Petani

Dato' Dr Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI -Dato’ Dr Mustaffa Idrus membuka satu lagi ruang dalam persaingan politik Sungai Petani apabila menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah itu berkata keputusan tersebut bukan semata-mata untuk mendapatkan sebuah kerusi Parlimen, sebaliknya didorong hasrat untuk membawa perjuangan yang menurutnya berpaksikan bangsa, agama dan negara.

“Saya menawarkan diri untuk bertanding demi perjuangan kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Mustaffa berkata beliau mahu melihat Sungai Petani bergerak ke tahap yang lebih tinggi, dengan potensi kawasan itu diterjemahkan kepada pembangunan yang lebih tersusun dan manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

Menurut beliau, Sungai Petani mempunyai ruang yang luas untuk berkembang dan memerlukan kepimpinan yang berani melihat masa depan, bukan hanya mengurus keperluan semasa.

Beliau mahu membawa pendekatan kepimpinan yang menurutnya berteraskan wawasan, keikhlasan dan amanah, dengan suara rakyat menjadi antara perkara utama yang akan dibawa sekiranya diberi mandat.

Mustaffa pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Tasik Gelugor dan kemudiannya menyatakan pernah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Parti Putra Negeri Kedah.

Beliau turut pernah memegang jawatan Timbalan Parti Warisan Negeri Kedah dan Pengerusi PUTRA Sungai Petani, sebelum kini menerajui PAMM Kedah.

Pengalaman tersebut, katanya, memberikan beliau pendedahan terhadap pelbagai sisi politik dan membuka ruang untuk beliau menawarkan satu pendekatan berbeza kepada pengundi Sungai Petani.

Selain itu katanya, beliau mahukan Sungai Petani khususnya bebas daripada kemasukan PATI dan Rohingya dengan kuasa sebagai pemimpin akan digunakan untuk tujuan itu.

“Saya mahu membawa perjuangan negara kembali kepada asas kepimpinan yang mempunyai wawasan, keikhlasan dan amanah.

“Sungai Petani ini juga perlu bebas sebagai sebuah kawasan milik rakyat. Kita tidak mahu adanya aktiviti PATI atau Rohingya di kawasan ini,”katanya .

Bagi Mustaffa, persoalan Sungai Petani bukan hanya mengenai siapa yang akan bertanding, tetapi juga mengenai arah yang mahu dibawa untuk kawasan itu pada masa depan.

Beliau mahu Parlimen Sungai Petani mempunyai suara yang lebih aktif dalam membawa isu pembangunan, ekonomi dan kepentingan masyarakat ke peringkat nasional.

Tawaran tersebut bagaimanapun masih merupakan hasrat Mustaffa dan belum menggambarkan keputusan rasmi mana-mana parti mengenai calon bagi kerusi berkenaan.

Untuk rekod beliau kini menjawat YDP PIBG SMK Sungai Layar serta dikurniakan Darjah Akademia Doktor Kehormat Persilatan daripada Akademi Persilatan Sedunia.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.