Alumni UniSHAMS, bawa suara rakyat Johor

Saifullah Wahab melayani masyarakat untuk bergambar kenangan

KUALA LUMPUR -Dalam landskap politik hari ini, masyarakat memerlukan pemimpin yang berilmu, berintegriti, berpengalaman serta memahami denyut nadi rakyat.

Atas dasar itu, pencalonan Saifullah Wahab bagi kerusi DUN Jementah menampilkan seorang pemimpin muda yang bersedia memikul amanah demi kesejahteraan masyarakat.

Anak kelahiran Segamat ini dikenali sebagai seorang yang mesra, mudah didekati dan sentiasa dekat dengan masyarakat.

Keperibadian yang disenangi ramai diperkukuhkan dengan rekod pendidikan, pengalaman kepimpinan serta penglibatan aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, selain menerima pendidikan di Maahad Johor dan Sekolah Menengah Arab Al-Khairiah, Segamat.

Latar belakang pendidikan ini membentuk asas ilmu agama yang kukuh, di samping melahirkan pemikiran yang seimbang antara akademik, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Pengalaman menimba ilmu serta merantau di Kedah turut memperkayakan perspektif beliau dalam memahami kepelbagaian masyarakat dan pendekatan pembangunan komuniti.

Pengalaman ini menjadi nilai tambah dalam membawa idea-idea yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Johor, khususnya di DUN Jementah.

Dalam bidang kerjaya, Saifullah Wahab pernah berkhidmat sebagai mutawif umrah dari tahun 2022 hingga 2024 dan aktif sebagai usahawan katering sejak tahun 2015. Pengalaman tersebut mengasah kemahiran pengurusan, komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang amat penting dalam melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat.

Penglibatan beliau dalam organisasi juga cukup luas. Antaranya sebagai AJK Penerangan Dewan Ulama PAS Negeri Johor, Bendahari Aktar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, AJK Jabatan Pembangunan Remaja Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, AJK Penerangan PAS Kawasan Segamat, selain pernah memimpin Jabatan Pembangunan Remaja dan Mahasiswa Dewan Pemuda PAS Kawasan Segamat.

Beliau juga berkhidmat sebagai Setiausaha PASTI Firdaus Segamat.

Komitmen terhadap masyarakat pula dibuktikan melalui penglibatan sebagai Pengarah Program Majlis Anugerah Prestasi PASTI Kawasan Segamat, AJK Program Tarbiyyah Anak PAS (PROTAPAS), AJK Kem Bina Sahsiah Negeri Kedah, AJK Program Derma Darah Heart of Gold 5.0 serta AJK Qurban Segamat Care.

Gabungan pendidikan yang mantap, pengalaman kepimpinan, keusahawanan dan khidmat masyarakat membentuk Saifullah Wahab sebagai calon yang memiliki keupayaan untuk membawa aspirasi rakyat Jementah.

Dengan tenaga, idea dan komitmen yang dimiliki, beliau bersedia memacu pembangunan yang lebih progresif, memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan menjadi suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Johor.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.