Longkang sumbat cemar imej bandaraya Alor Setar

Keadaan longkang tersumbat dan berwarna hitam

ALOR SETAR– Tidak mencerminkan sebuah bandaraya!

Demikian wajah Taman Mergong di sini apabila longkangnya tersumbat manakala airnya pula kotor menjijikkan.

Pengerusi Perhubungan Parti Warisan Negeri Kedah, Dato’ Fadhil Hanafi (gambar) berkata, pihak berwajib dituntut mencuci dan membersihkan longkang supaya kawasan berkenaan terpelihara baik.

“Kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBS) saya minta sangat-sangat kepada datuk bandar supaya turun ke Taman Wira Mergong Jalan Sultanah Sambungan supaya dapat melihat longkang tersumbat dengan cukup teruk sekali.

“Bagi saya longkang ini sangat tidak sesuai berada dalam kawasan yang disebut sebagai bandaraya,”katanya dalam satu kenyataan video hari ini .

Beliau berkata, MBS diharap dapat menunjukkan keberkesanan bertindak dalam masa terdekat.

Menerusi video dihantar menunjukkan terdapat gerai beroperasi bersebelahan longkang.

Beliau berkata, sekiranya longkang dibiarkan begitu, ia dikhuatiri menjejaskan pendapatan penjaga-peniaga di kawasan sekitar.

“Selain itu, kita bimbang kebersihan makanan tercemar kerana longkang yang tidak diselenggara baik mengundang tikus dan sebagainya,”katanya.

Terdahulu, Fadhil Hanafi dan Pengerusi Biro Perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus serta ahli Warisan Negeri Kedah melakukan tinjauan di kawasan berkenaan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.