SUNGAI PETANI-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menyatakan kesediaan dan hasrat untuk bertanding merebut kerusi Parlimen bagi membawa agenda reformasi pentadbiran serta memperjuangkan isu keselamatan dan kedaulatan negara di peringkat Dewan Rakyat.
Beliau berkata keputusan itu didorong oleh desakan dan keperluan mendesak suara akar umbi berkaitan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pelarian dapat disuarakan secara lebih berkesan melalui saluran legislatif.
Menurutnya, sepanjang bergiat aktif bersama PAMM Kedah, isu kehadiran warga asing tanpa dokumen sah dan pelarian sering menjadi keluhan utama masyarakat setempat yang bimbang terhadap aspek keselamatan, ekonomi serta kebajikan penduduk tempatan.
”Saya konsisten membawa suara rakyat mengenai isu PATI dan pelarian di Malaysia kerana perkara ini bukan isu kecil, sebaliknya melibatkan masa depan keselamatan dan kestabilan negara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dato’ Dr Mustaffa menegaskan bahawa pendekatan sedia ada perlu dinilai semula secara menyeluruh kerana masalah tersebut dilihat berlarutan tanpa penyelesaian tuntas yang benar-benar dirasai rakyat di bawah.
Justeru, beliau menyeru supaya Malaysia melakukan “reset” terhadap dasar, penguatkuasaan undang-undang dan tatakelola pengurusan warga asing agar kepentingan rakyat tempatan sentiasa diberi keutamaan mutlak.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan Malaysia mencontohi ketegasan Thailand dalam mengawal sempadan, mengurus kemasukan warga asing serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang konsisten dan bersepadu.
”Kita boleh melihat bagaimana Thailand bersikap tegas dalam soal kawalan dan penguatkuasaan; Malaysia juga perlu mempunyai keberanian politik serta ketegasan yang sama demi melindungi kedaulatan dan hak rakyat sendiri,”katanya.
Tambah beliau, ketegasan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai bermusuhan, sebaliknya sebagai langkah wajar mana-mana negara berdaulat untuk memastikan pematuhan undang-undang serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau berpandangan bahawa kehadiran di Parlimen kelak membolehkan pihaknya mengemukakan cadangan dasar yang lebih pragmatik, mendesak ketelusan penguatkuasaan serta memantau pelaksanaan undang-undang berkaitan imigresen dan pelarian.
Katanya, langkah awal sedang digerakkan bagi memperkukuh sokongan akar umbi dan menyusun strategi sebelum sebarang keputusan rasmi pencalonan dimuktamadkan mengikut saluran serta peraturan yang ditetapkan.
Dato’ Dr Mustaffa berharap perjuangan membawa agenda “reset” negara itu mendapat perhatian serius semua pihak demi menjamin Malaysia yang lebih selamat, teratur dan sejahtera untuk generasi akan datang.
RENTAS7








Leave a Reply