MOSTI komited pastikan pasaran grafit dan grafin Malaysia capai tahap global

KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Graphjet Technology Sdn. Bhd. (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd. di The Majesctic Hotel Kuala Lumpur.

Menerusi MoU ini, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa, telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun.
Melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai salah
satu hab utama industri automotif, kerjasama ini dilihat akan mampu
mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia.

Syarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk
menghasilkan grafin daripada isirong sawit. Teknologi yang dipatenkan ini
ialah penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin. Teknologi yang menggunakan isirong sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Menurut beliau , kerjasama ini dapat memberikan manfaat yang besar memandangkan Toyoda dan Graphjet adalah pemain utama dalam industri masing-masing. Ia akan memberikan pertumbuhan pendapatan yang ketara kepada kedua-dua syarikat, seterusnya memacu ekonomi Malaysia dan Jepun.

“Untuk jangka masa panjang, saya percaya bahawa pemasaran grafin yang
dihasilkan Graphjet akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia
mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin
tempatan di bawah program ‘Graphenovation’ dan membolehkan Malaysia menjadi salah satu pengeksport grafin di dunia suatu hari nanti.

“Selain itu, ia juga akan menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut
menyarankan agar Graphjet menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia
Berhad (NMB) terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan
produk hiliran dan aplikasi dengan grafin, selain mendapatkan pensijilan
GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan
pengiktirafan domestik dan antarabangsa.”

Untuk makluman, GrapheneVerify ialah program di bawah NanoVerify Sdn.
Bhd. (NVSB), sebuah syarikat milik penuh di bawah NMB iaitu agensi di
bawah MOSTI untuk menggalakkan penyertaan pemain grafin Malaysia dalam ekonomi grafin global yang dianggarkan berjumlah AS$267 bilion
dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

Objektif program ini adalah untuk mengesahkan kehadiran dan kualiti grafin di dalam produk, mempromosikan produk berasaskan grafin ke pasaran
tempatan dan antarabangsa, memupuk kepercayaan orang ramai di kalangan pengguna dan pemain industri dalam produk grafin yang disahkan dan memastikan daya saing produk berasaskan grafin tempatan di peringkat
antarabangsa.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11, NMB telah diberi tanggungjawab untuk
melaksanakan Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 (NGAP 2020).

Sehingga kini, terdapat 61 projek telah diaktifkan dan 40 harta intelek telah
difailkan melibatkan 50 syarikat PKS tempatan, termasuk syarikat pemula.
Projek-projek ini telah mencipta lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada
Keluarga Malaysia.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.