Wajibkan kakitangan awam dan IPT pakai tanjak

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI – Kerajaan disarankan mewajibkan pemakaian tanjak kepada kakitangan awam dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seminggu sekali pada hari bekerja.

Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, langkah itu sebagai salah satu usaha untuk membudayakan warisan Melayu sebagai satu amalan.

“Tanjak penuh dengan falsafah dan kebijaksanaan bangsa Melayu. Sayangnya, kerajaan khususnya tidak pernah meletakkan pemakaian ini pada tempat sepatutnya.

“Justeru, PAMM mencadangkan kerajaan supaya mewajibkan pemakaian tanjak kepada kakitangan awam berbangsa Melayu termasuklah suburkan budaya ini kepada pelajar IPT,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, pelaksanaan itu dicadangkan pada hari terakhir bekerja.

“Pemakaian tanjak bagi Negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor boleh dilakukan pada hari Khamis manakala negeri-negeri lain boleh laksanakan pada hari Jumaat.

“Mulakan dengan tanjak dahulu, kemudian nanti barulah berkembang kepada pemakaian busana Melayu dan sebagainya,”katanya.

Mustaffa berkata, usaha membudayakan warisan Melayu perlu dilakukan segera seiring dengan perubahan arus zaman.

“Pada hari ini sejarah dan warisan Melayu semakin berkembang, bukan hanya di Malaysia tetapi menyeluruh di rantau ASEAN atau dahulunya dikenali sebagai Alam Melayu.

“Kerajaan silih berganti tetapi sedihnya tiada siapa yang ambil peluang untuk mengangkat warisan Melayu, maka PAMM harap kerajaan hari ini lebih cakna dan prihatin,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.