Jangan terikut pembangkang burukkan kerajaan

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Persatuan Angkatan Melayu Kedah (PAMM) berharap rakyat tidak terikut dengan rentak pembangkang yang mahu menggulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, ketika ini Tan Sri Muhyiddin sedang berdepan ujian paling hebat berbanding tujuh bekas Perdana Menteri sebelumnya.

“Beliau didatangkan ujian secara serentak. Bukan sahaja mengambil alih ketika negara diuji dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi, malah ketika nyawa rakyat bagai dihujung tanduk diancam COVID-19.

“PAMM berharap rakyat tidak termakan umpan pembangkang yang tidak habis berpolitik memburukkan kerajaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kreadibiliti Muhyiddin sebagai pemimpin bagaimanapun semakin terserlah sejak mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi berdepan COVID-19.

“PKP terus dilaksanakan apabila kepimpinan Muhyiddin mengambil alih negara, walhal ia sepatutnya dibuat ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH),”katanya.

Mustafa berkata, Muhyiddin terus membuktikan bahawa beliau adalah Perdana Menteri yang amat mengambil berat terhadap rakyat apabila segera melaksanakan langkah-langkah penting membasmi COVID-19.

“Jika dibandingkan negara luar, kita jauh amat beruntung dan sepatutnya bersyukur. Negara luar kebanyakan buntu untuk membantu rakyat sendiri.

“Hasil mesyuarat bersama anggota Kabinet yang terdiri daripada profesional, teknokrat dan ilmuwan, Muhyiddin berjaya membentangkan Pakej PRIHATIN dan Pakej PRIHATIN Tambahan yang membantu rakyat secara menyeluruh,”katanya.

Tambahnya, kerajaan baharu juga agresif memerangi COVID-19 melalui bantuan RM600 juta bagi memastikan peralatan perubatan mencukupi termasuk pengambilan 2,000 kakitangan kontrak terutamanya jururawat.

“Bukanlah kita mahu berpolitik, tetapi PAMM tampil untuk bercakap soal ini apabila melihat ada pihak mahu merencatkan usaha kerajaan membasmi COVID-19,”katanya.

Mustaffa dalam pada itu berharap kerajaan memanjangkan tempoh PKP yang mungkin perlu dilaksanakan sehingga akhir tahun.

“Ini satu pengorbanan perlu kita tempuhi bersama. Marilah kita mendoakan supaya ALLAH membantu kerajaan kita menyelesaikan masalah COVID-19,”katanya.

Rentas7.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.