Polis selesai siasat 12 tahanan LTTE

KUALA LUMPUR- Polis berpuas hati dengan hasil siasatan terhadap 12 lelaki yang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, segala dokumen diperlukan teleh diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, Rabu lalu.

Menurutnya, di pihak polis, siasatan telah pun selesai dibuat.

“Setakat ini kita berpuas hati hasil siasatan berhubung penahanan 12 individu terbabit. Segala dokumen diperlukan sudah dikemukakan.

“Kini terpulang pada Peguam Negara sama ada cukup bukti atau tidak untuk pertuduhan di mahkamah,”katanya seperti dipetik daripada Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, ahli keluarga suspek dibenarkan bertemu 12 lelaki berkenaan sempena Deepavali.

Menurutnya, hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan bertemu dan perkara itu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita mendapat arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang meminta kita mengatur pertemuan berkenaan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.