Ydp Pibg Sunlay Hargai Keprihatinan Pengetua, Komitmen Komuniti Jayakan Majlis Spm 2026

Dato' Dr Mustaffa berucap dalam Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana sempena SPM 2026

SUNGAI LAYAR– Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sungai Layar (SUNLAY), Dato’ Dr Mustaffa Idrus merakamkan penghargaan kepada pengetua, barisan guru, ibu bapa dan komuniti atas komitmen menjayakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana sempena SPM 2026.

Beliau berkata, kejayaan majlis itu mencerminkan kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG dan komuniti dalam memberikan sokongan kepada calon-calon SPM 2026.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana SMK Sungai Layar mempunyai seorang pengetua yang prihatin dan berjiwa besar, khususnya dalam mengutamakan kecemerlangan serta masa depan anak-anak pelajar.

“Bagi pihak PIBG dan pelajar, saya mengucapkan terima kasih dan amat bersyukur kepada Allah SWT kerana dikurniakan seorang pengetua yang amat prihatin serta berjiwa besar, yang mengutamakan kecemerlangan anak-anak pelajar demi menjana masa depan mereka,” katanya.

Dato’ Dr Mustaffa turut merakamkan penghargaan kepada En Fahmi atas sumbangan seekor lembu bagi menjayakan kenduri rakyat yang diadakan bersempena majlis berkenaan.

Beliau turut menyumbangkan kewangan bagi membantu menjayakan jamuan tersebut sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap program yang dianjurkan pihak sekolah.

Beliau berharap sumbangan dan kerjasama semua pihak itu mendapat ganjaran daripada Allah SWT, selain mendoakan agar rezeki para penyumbang terus bertambah serta dikurniakan kesihatan yang baik.

Dato’ Dr Mustaffa berkata, PIBG SUNLAY akan terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengan pengetua, Cikgu Tuan Haji Shamsudin Salleh, serta seluruh warga sekolah demi memastikan kecemerlangan pelajar terus menjadi keutamaan.

Katanya, hubungan erat antara PIBG dengan pihak sekolah amat penting bagi memastikan setiap usaha pendidikan mendapat sokongan sewajarnya, sekali gus membantu pelajar membina masa depan yang lebih baik.

Beliau turut mendoakan agar segala urusan pengetua dan guru-guru SUNLAY dipermudahkan Allah SWT serta sentiasa berada dalam rahmat-Nya bersama keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berharap calon-calon SPM 2026 diberikan ketenangan hati, kesihatan yang baik dan kefahaman yang jelas ketika menghadapi peperiksaan, seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang hasil usaha, doa dan sokongan semua pihak.

Insentif disediakan pihak sekolah bersama PIBG

“Ini satu cabaran dan juga motivasi kepada semua calon dalam memberikan mereka keyakinan menjawab soalan-soalan SPM,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.