Penduduk dakwa tentera Thai salah tembak

Penduduk mengerumuni kawasan berhampiran bukit berkenaan

PATANI– Tentera Thailand mendakwa tiga individu yang maut ditembak di Bukit Tak Wey, Ra-ngae, wilayah Narathiwat adalah anggota Gerakan Patani Merdeka (GPM).

Media melaporkan ketiga-tiga mangsa maut dalam operasi ketenteraan yang dijalankan di bukit berkenaan, semalam (16 Disember 2019).

Dakwaan pihak tentera bagaimanapun dibantah penduduk yang mendakwa ketiga-tiga mangsa bukan anggota kumpulan pemisah.

Tiga pemuda terkorban itu dikenali sebagai Budiman Mali, Manasir Sama-Ae dan Hafizi Mada-o

Mangsa yang terkorban

Patanews memetik Wartani melaporkan, penduduk mendakwa semua mangsa  terbabit adalah orang kampung yang hanya bekerja sebagai petani dan penebang kayu.

Kejadian tragis itu disusuli desakan penduduk yang mahu kerajaan memeriksa fakta dan mendedahkan laporan sebenar kepada umum.

Mereka juga menuntut pelaku yang bersalah dikenakan hukuman.

Penduduk mengerumuni kawasan mayat dibawa keluar

“Mereka adalah penduduk kampung biasa yang bekerja petani dan penebang kayu di perbukitan, mereka pergi pagi dan kembali waktu senja,” kata seorang penduduk seperti dilaporkan Patanews.

Terdahulu, tentera dilaporkan bertempur dengan anggota GPM mengakibatkan tiga anggota kumpulan itu terbunuh.

Rentas7.com/ Foto: Thai PBS

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.