Ahli Parlimen Thailand “lari” guna laluan sungai

Thai Rat melaporkan Ahli Parlimen negara itu terpaksa menggunakan sungai selepas jalan raya dipenuhi kumpulan penunjuk perasaan

BANGKOK-Ahli Parlimen kerajaan terpaksa menggunakan laluan sungai bagi mengelak bertemu kumpulan penunjuk perasaan.

Menurut media Thailand iaitu Thai Rat pada malam ini, sejumlah Ahli Parlimen yang tidak dinyatakan dalam jumlah sebenar terpaksa menaiki bot menggunakan laluan Sungai Chao Praya.

Ahli Parlimen sebelum itu dilaporkan mengadakan perbincangan di Dewan Rakyat berkaitan isu yang melibatkan tuntutan kumpulan berkenaan.

Demontrasi dipimpin aktivis daripada mahasiswa itu antara lain menuntut Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan o-cha meletakan jawatan kerana didakwa lemah mentadbir negara.

Gerakan itu juga menuntut reformasi monarki di samping mendesak pentadbiran kerajaan tidak lagi dicampuri oleh kerabat diraja.

Pada 19 September lalu, ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul berhampiran padang Sanam Luang memasang “plak rakyat” yang mengisytiharkan Thailand adalah milik rakyat.

Mesej paling berani itu belum pernah dibuat dalam sejarah demontrasi Thailand memandangkan negara itu terkenal dengan hukuman kepada rakyat yang mengkritik kerabat diraja.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.