Warisan yakin terima sokongan padu pengundi UMNO, PH

Mustaffa (kanan) bersama Timbalan Ketua Bahagian Padang Serai, Badri Hashim dalam satu program Warisan baru-baru ini

SUNGAI PETANI– Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah optimis penyokong khususnya daripada gabungan PH dan UMNO akan beralih kepada mereka menjelang pertembungan PRU-15 tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan Awam Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, beberapa buah kerusi Parlimen di Kedah bakal menjadi milik Parti Warisan berikutan sokongan padu masyarakat setempat.

“Semuanya tidak mustahil. Majoriti yang menyokong kita kerana kecewa dengan skandal rasuah yang menyelebungi pemimpin UMNO.

“Penyokong PH yang rasa ditipu dengan janji manis DAP, Amanah dan PKR pada PRU-14 juga mahu mencari parti berkaliber dan mereka memilih Warisan,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, Parti Warisan Negeri Kedah juga tidak menolak kubu kuat Perikatan Nasional akan roboh selepas kemasukan Warisan di Kedah.

“Walaupun kebanyakan kerusi di negeri ini milik PN, tetapi kita yakin dapat memikat hati pengundi mereka.

“PN Kedah dilihat berjaya dalam beberapa sudut dan lemah untuk beberapa sudut dalam pentadbiran mereka. Ertinya mereka boleh ditewaskan.

“Justeru kita memohon rakyat Kedah yang telah merasai kepimpinan UMNO, PH dan PN supaya memberikan kita peluang untuk berkhidmat kepada mereka.

“Terima kami sepenggal. Jika kami terbukti sama seperti yang lain tolaklah kami,”katanya.

Mustaffa berkata, negeri Kedah boleh dipacu ke arah kejayaan dalam sektor ekonomi khususnya, tetapi sayang parti-parti lain gagal mengenal pasti kelebihan Kedah dan memanfaatkannya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.