Ibarat dimakan slogan sendiri, hadiah kekalahan kelima kepada penyokong

KUALA LUMPUR -Lima kekalahan berturut-turut dialami pasukan Kedah musim ini ibarat sumpahan daripada slogan sendiri iaitu ‘kalah tak apa jangan koyak’.

Slogan tidak rasmi itu dipopularkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bermula daripada kekalahan 3-1 kepada JDT di laman sendiri.

Ia asalnya diguna bagi melawan sindiran penyokong JDT, malangnya Kedah seakan sengaja mencari penyakit apabila merekodkan lima kekalahan yang kebetulannya sama seperti slogan ‘kalah tak apa jangan koyak’.

Kedah merekodkan kekalahan 1-0 kepada PJ City, tewas 3-1 kepada JDT sebelum ditumpaskan 4-3 oleh Negeri Sembilan.

Dua perlawanan terakhir Kedah tewas 4-1 kepada JDT dan tewas 3-1 kepada Terengganu di Stadium Darul Aman malam ini.

Kebangkitan diharapkan penyokong Kedah terhadap skuad bimbingan Aidil Sharin bagi memburu kedudukan kelima terbaik Liga Super 2022 tidak berlaku setelah Kedah bocor dengan jaringan Faisal Halim minit ke-4 dan dua gol Tchetche Kipre pada minit ke-16 dan 74.

Gol saguhati tuan rumah hadir pada minit ke-88 jaringan pemain import, Dechi Marcel.

Tiga daripada lima perlawanan terakhir berlangsung di Stadium Darul Aman. Setelah gagal mencatatkan keputusan baik, Kedah sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan dari 12 pasukan menerusi kutipan 27 mata.

Salah satu halaman popular iaitu Penyokong Setia Hijau Kuning tidak terkecuali mengkritik aksi longlai Kedah.

Meninjau di media sosial, rata-rata penyokong setia Kedah yang lain turut bimbang dengan prestasi buruk skuad kesayangan mereka.

Antara luahan di Facebook penyokong pasukan bola sepak Kedah

Mereka menuntut Kedah kembali bangkit pada Piala Malaysia akan datang selain berharap berlaku perubahan kepada barisan skuad Hijau Kuning.

Di sebalik aksi mengecewakan pasukan Kedah, seluruh penyokong kesayangan Hijau Kuning mendoakan Kedah kembali muncul pencabar Liga Super tahun depan seperti mana slogan ‘Pulun Kedah Pulun’ dan ‘ Biar Jasa Jadi Kenangan’.

RENTAS7/ FOTO: Kedah Darul Aman FC

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.