“Tak mahu berunding, dipersila bertanding sendirian”- Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR– Dewan Pemuda PAS mencadangkan parti kompenan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mahu menggunakan meja rundingan bagi menyelesaikan isu dalaman supaya bertanding sendirian dalam PRU15.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, semua pimpinan parti di dalam kerajaan perlu mengelakkan debat terbuka sebaliknya menyelesaikan isu secara rundingan.

Menurutnya, perdebatan terbuka tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.

Katanya, keputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat dan bukannya bersifat kepentingan peribadi.

“Semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan.

“Pemuda PAS mencadangkan agar tidak perlu lagi diadakan rundingan dan semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian di dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teguran Ahmad Fadhli dilihat lebih dituju khas kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila menyebut nama pimpinan tersebut dalam kenyataannya.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia meneliti dengan serius perkembangan yang berlaku di antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini.

“Terutama sekali beberapa siri kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi berhubung isu penggunaan bendera BN, penyertaan PPBM dalam Muafakat Nasional dan pendaftaran Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS berpandangan bahawa PN mahupun Muafakat Nasional (MN) ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sehingga membawa kejatuhannya pada bulan Februari lepas.

“Ia berlaku apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu.

“Rata-rata rakyat hakikatnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Ditambah dengan suasana pandemik COVID19 pada hari ini, kita yakin rakyat tidak mahu dihidangkan dengan cerita-cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan untuk menjadi hidangan mereka sekeluarga,” katanya.

Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, dengan ekonomi negara dalam keadaan membimbangkan, pekerja hilang mata pencarian dan pelbagai isu lagi, pertembungan parti-parti kerajaan secara terbuka amatlah tidak sesuai.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.