Muhyiddin Yassin tuntut pihak berkuasa agama proaktif sedarkan masyarakat kepentingan vaksin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR-Perdana Menteri menuntut pihak berkuasa agama lebih proaktif dengan memperbanyakkan progam kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID19.

Perkara itu ditekankan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 pagi tadi.

“Saya tegaskan usaha mempromosikan galakan pengambilan imunisasi ini seharusnya tidak terhad kepada kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin.

“Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa keputusan Kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021.

“Dalam hal ini, saya berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada menguar-uarkan berkenaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik ini menjadi semakin tidak terkawal sebagaimana di beberapa negara lain,”katanya.

Mesyuarat yang diadakan secara persidangan video ini dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.