Sokongan PH berkurangan, dua Ahli Parlimen beralih sokong PN

Dua Ahli Parlimen daripada PH menyerahkan SD kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR– Sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin berkurangan apabila dua Ahli Parlimen daripada komponen parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau pada hari ini menerima akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

“Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sokongan tersebut mengukuhkan lagi kerajaan di bawah pimpinan PN.

“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” katanya.

Situati terkini itu bakal merencatkan hasrat PH melakukan undi tidak percaya kepada Muhyiddin dalam Sidang Parlimen.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.