HTA tegur kesilapan Harian Metro

Laporan Harian Metro

KUALA LUMPUR-Hospital Tunku Azizah (HTA) memaklumkan kesilapan fakta berkaitan laporan Harian Metro bertajuk ‘Bantulah Omar’ yang disiarkan Harian Metro pada 24 Februari 2021.

Pengarah HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata, kesilapan laporan berkenaan adalah berkaitan pesakit.

“Hospital Tunku Azizah (HTA) ingin merujuk kepada laporan berita yang telah disiarkan oleh Harian Metro bertarikh 24 Februari 2021, bertajuk “Bantulah Umar” di halaman Mutakhir serta turut ditularkan melalui aplikasi ‘facebook‘ bertajuk “derma kilat adik Umar Haris”.

“Hospital Tunku Azizah ingin memaklumkan bahawa terdapat kesilapan fakta dalam pelaporan yang telah dikeluarkan berkaitan pesakit ini.

“Merujuk kepada Akta FI (Perubatan) 1951, perenggan 17, caj maksimum bagi pesakit kelas tiga hendaklah tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap kali dimasukkan ke Hospital,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, caj maksimum tersebut juga adalah termasuk semua jenis prosedur, pembedahan, ubatan dan rawatan yang diberi kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah Hospital Tunku Azizah.

“Untuk makluman, pesakit ini telah dirujuk dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah pada 15 Februari 2021 (Isnin) atas masalah kesihatan kebergantungan kepada Oksigen.

“Pesakit telah dimasukkan ke
wad biasa dan keadaannya adalah stabil serta telah dijadualkan untuk menjalani
pembedahan dalam masa terdekat,”katanya.

Menurutnya, Sehubungan itu, Hospital Tunku Azizah memohon agar semua lapisan masyarakat sentiasa berhati-hati dan tidak menyebarkan sebarang berita atau informasi yang tidak sahih atau tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sebarang pertanyaan atau keraguan, sila rujuk kepada sumber rasmi Hospital Tunku Azizah melalui Unit Komunikasi Korporat di talian 03-26003000 atau
emel ukk.hwkkkl@moh.gov.my

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.