ALOR SETAR– Tiada alasan kukuh oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membenarkan pendaratan helikopter di sebuah sekolah di Kupang bagi membawa ulama dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad (UAS) sangat mengecewakan.
Rasa kesal itu dilahirkan Adun Kupang, Yb Dato’ Hj Najmi Hj Ahmad selaku penganjur bersama Ceramah Perdana UAS di Masjid Ehsaniah Kupang pada 22 Disember lalu.
“Saya amat kecewa dengan satu peristiwa di mana permohonan penganjur ceramah perdana UAS untuk pendaratan helikopter di padang sebuah sekolah di Kupang ditolak oleh KPM tanpa alasan muhasabah,” katanya pada Perbahasan Titah Ucapan Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau mempersoal apakah dengan membenarkan pendaratan tersebut membawa kemudaratan kepada Kerajaan Madani.
“Susah betul untuk memahami penguasa seperti ini. Apakah keuntungan yang diperolehi daripada ini? Apakah pendaratan (helikopter ) membawa mudarat besar kepada kerajaan ? Khususnya Kerajaan Madani?
“Tidak! Yang pasti ialah menampakkan ketidakcerdikan KPM itu sendiri,”katanya.
UAS dijadual bertolak ke Alor Setar dengan helikopter selepas selesai ceramah di Masjid Ehsaniah pekan Kupang bagi memenuhi undangan program Kerajaan Negeri Kedah.
Bagaimanapun UAS terpaksa dibawa pergi dengan kereta selepas helikopter yang sepatutnya mendarat tidak dibenarkan berbuat demikian oleh KPM tanpa sebarang alasan kukuh.
Dalam pada itu, Najmi menuntut usaha-usaha yang menyekat dan menghalang wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional di Kedah membantu institusi pendidikan dihentikan segera.
“Peranan dari tiga sektor telah berjaya membawa perubahan besar kepada kemajuan fizikal dan spritual rakyat.
“Mereka adalah sektor kerajaan itu sendiri, sektor swasta dan sektor NGO. Langkah-langkah mengeratkan lagi kelompok ini perlu diperkasakan selari dengan acuan Kedah 2035.
“Justeru itu, pemikiran lapuk menyekat wakil-wakil rakyat membantu institusi pendidikan seperti di Kedah ini perlu dihentikan,”katanya yang merujuk kepada halangan daripada Kerajaan Pusat.
RENTAS7
Leave a Reply