Penempatan setinggan Pati diserbu, 250 orang ditangkap

Seramai 250 Pati ditahan dalam tiga serbuan berasingan

KOTA KINABALU– Penempatan setinggan pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah pada 27 Februari lalu.

Operasi Bersepadu disertai pelbagai agensi penguatkuasaan Persekutuan dan negeri membabitkan 117 pegawai itu diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (KTPP) Hasmayati Massa dan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Razman Manap.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Dr. Muhammad Safe Mohamad Amin berkata, serbuan dilakukan di Kampung Sungai Buaya, Kampung Pasir Putih dan Rumah Kongsi Bayan Batu 8 Jalan Apas.

” Daripada keseluruhan jumlah tangkapan, seramai 57 orang terdiri daripada 18 orang lelaki, 26 orang wanita, sembilan kanak-kanak lelaki serta empat kanak-kanak perempuan adalah warga Filipina.

” Manakala seramai 18 orang terdiri daripada 5 orang lelaki, 10 orang perempuan dan 3 kanak-kanak perempuan pula adalah warga Indonesia,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka yang telah ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek. 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

” Mereka kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan lanjut,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi dilaksanakan itu bertujuan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap penempatan haram Colonial PATI.

” Dalam masa yang sama JIM juga akan melaksanakan tindakan undang undang terhadap mana-mana orang atau individu tertentu yang didapati menjadi dalang disebalik kehadiran dan penempatan PATI di lokasi sasaran.

“Akhir sekali JIM dan semua Jabatan serta Agensi yang terlibat dalam operasi ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama orang awam dan pihak-pihak tertentu sehingga berjayanya operasi ini,”katanya.

Beliau berkata, JIM Sabah menyeru kerjasama orang ramai untuk terus memberikan sokongan kepada Agensi Penguatkuasaan untuk membenteras kehadiran dan penempatan haram PATI di negari ini, khususnya di daerah Tawau.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti atau perbuatan yang ditakrifkan jenayah kerana melindungi PATI.

“JIM tidak akan berkompromi atas kesalahan yang berkaitan dan akan mengambil tindakan tegas selaras dengan perlaksanaan undang- undang yang sedang dilaksanakan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.