Miliki dadah, dua lelaki tempatan ditahan

Dua lelaki berkenaan ditahan pihak polis dalam dua serbuan berasingan

TAWAU-Gara-gara mempunyai syabu, dua lelaki warga tempatan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menerusi Op Benteng COVID.

Dua lelaki berusia itu ditangkap dalam serbuan berasingan di Kalabakan pada Khamis lalu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14, PFA Tawau, DSP Abdul Halim Ahmad berkata, lelaki pertama berusia dalam lingkungan 20 tahun ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Kampung Mangga pada jam 11.30 pagi selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas beg silang suspek menjumpai enam paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.49 gram.

Beliau berkata, tangkapan kedua dibuat pada pukul 3.30 petang di lokasi Road Check Point (RCP) di mana suspek sebelum itu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek berusia 26 tahun yang sebelum itu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan menjumpai dua plastik lutsinar.

“Ia berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 3.90 gram,”katanya yang dipetik dari Bes Tawaufm hari ini.

Beliau berkata, hasil rampasan dianggarkan bernilai Rm600 dan kedua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bagi siasatan lanjut.

Dua kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a).

Rentas7/ Foto: RTM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.