Pemimpin “sokong” Anwar nyatakan sokongan kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR-Tiada pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, beliau sindiri “pening” dengan dakwaan Anwar yang seolah-olah sudah mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Sehingga hari ini saya tidak pasti apakah kenyataan itu betul atau tidak atau sekadar pernyataan politik.

“Ini setelah beberapa wakil rakyat yang dikaitkan dengan ‘peralihan’ sokongan kepada pemimpin tersebut telah tampil menafikan mereka terlibat sejurus perkara itu tersebar,”katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Bagaimanapun kata Muhyiddin, beliau memandang serius kenyataan pemimpin tersebut kerana selain melibatkan kedudukan saya selaku Perdana Menteri.

“Ia juga membabitkan soal negara dan Perlembagaan. Saya berpegang kepada Perlembagaan Negara dan pastinya akan menangani isu itu mengikut pernyataan atau apa yang terkandung atau tertulis di dalam Perlembagaan tersebut,”katanya.

Sementara itu, sempena kempen hari terakhir di Sabah, Muhyiddin turun untuk kempen yang terakhir di Sabah dengan hadir ke Majlis Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional di Tambunan di sebelah pagi dan Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat di Tamparuli di sebelah petang.

Pengerusi Bersatu itu nyata gembira dengan sokongan padu rakyat Sabah kepada Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin berkata, beliau dapat saksikan momentum sokongan rakyat kepada calon yang bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah terus meningkat.

“Manakala bendera biru Perikatan Nasional (PN) berkibar megah di seluruh negeri Sabah. Ini satu petanda baik dan perkembangan yang sangat positif kepada PN menjelang hari pengundian, esok,”katanya.

Beliau berkata, PN walaupun belum berusia setahun, PN merupakan sebuah kerajaan yang berfungsi atau a functional government dan prihatin.

Menurutnya, PN telah melakukan sehabis baik dalam menjaga kebajikan rakyat ketika berdepan situasi sukar ekoran penularan COVID-19.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan saya akan terus berusaha mengurus dan menghidupkan semula ekonomi negara serta menyelesaikan isu COVID-19 selain menjaga keselamatan dan kesejahteraan,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, perjalanan untuk menguruskan pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi masih jauh.

“Saya adalah pengurus di dalam negara ini. Saya hanya menguruskan kehidupan rakyat dan bertanggungjawab memastikan ekonomi rakyat dan negara tidak terjejas teruk.

“Selamat mengundi kepada seluruh rakyat Sabah. Saya doakan anda semua serta mereka yang terlibat dalam pilihan raya ini diberikan kesihatan dan dilindungi, khususnya daripada wabak COVID-19,”katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan PN juga komited mengukuhkan kesatuan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama, baik di Semenanjung, Sabah ataupun Sarawak.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.