Dua nelayan hilang, terjatuh dari bot

Muhammad Aminullah Azmi

KUANTAN-Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dalam kejadian kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan pada jam 10.30 pagi semalam.

Mangsa adalah nelayan tempatan, Muhammad Aminullah Azmi berusia 29 tahun masih belum ditemui.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Datuk  Amran Daud berkata, operasi Cari Alamat  telah diaktifkan pada jam 10.50 pagi semalam dengan Bot Maritim Malaysia Kilat 50 yang sedang melakukan rondaan diarahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ia kejadian kedua dalam tempoh tiga hari melibatkan nelayan terjatuh dari bot.

“Kejadian pertama nelayan terjatuh dari bot dan hilang di perairan Endau.

“Kedua-dua kes ini hampir serupa kerana mereka tidak menitikberatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada di laut dan mangsa tidak memakai jaket keselamatan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan laut dan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari.

“Pencarian mangsa telah disambung pada awal pagi ini oleh Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang beroperasi dalam operasi Cari Alamat di Perairan Endau.

“Manakala pencarian kes mangsa yang di Perairan Endau yang masuk hari ketiga disambung oleh KM Tatau dan dibantu oleh bot kilat 14 dari Zon Maritim Mersing bersama bot PSc 31 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan,”katanya.

Tambahnya, operasi mencari bagi kedua-dua mangsa diluaskan sehingga 960 batu nautika persegi.

Operasi berkenaan dibantu dua buah pesawat udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tujuh bot nelayan tempatan.

Sebarang Aduan kecemasan dilaut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999.

Rentas7.com/ Foto APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.