ALOR SETAR-Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menyambut baik tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita lebih 20 buah kenderaan dalam operasi khas selama tiga hari, termasuk sebuah kereta sport yang dilaporkan dimiliki seorang warga Rohingya.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan seperti itu penting bagi memastikan setiap kenderaan yang digunakan di atas jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, perkara yang perlu diberikan perhatian bukan semata-mata kepada bangsa atau kewarganegaraan pemilik kenderaan, tetapi sama ada kenderaan tersebut mempunyai dokumen yang sah, memenuhi syarat pendaftaran serta digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Jika terdapat pelanggaran undang-undang, tindakan mesti diambil tanpa mengira siapa pemiliknya.
” Penguatkuasaan tidak boleh memilih bulu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa penemuan kenderaan bernilai tinggi yang dimiliki oleh bukan warganegara wajar diberikan perhatian dari sudut pematuhan undang-undang, sumber kewangan dan status pemilikan kenderaan sekiranya terdapat perkara yang meragukan.
Katanya, agensi penguat kuasa perlu mempunyai mekanisme pemeriksaan yang berkesan bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya dapat dikenal pasti status pendaftaran, pemilikan, insurans, lesen serta dokumen berkaitan.
“Jangan sampai ada pihak mengambil kesempatan atas kelemahan sistem sehingga kenderaan yang tidak memenuhi syarat boleh digunakan secara bebas di negara ini,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya penguatkuasaan terhadap kenderaan yang digunakan oleh bukan warganegara dipertingkatkan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai jumlah pekerja asing atau pendatang yang tinggi.
Menurut beliau, penguatkuasaan yang konsisten bukan sahaja berkaitan dengan isu imigresen, malah turut melibatkan keselamatan jalan raya, cukai, pendaftaran kenderaan dan pematuhan kepada undang-undang negara.
Dalam pada itu, PAMM Kedah berharap operasi seumpama ini tidak hanya dilakukan secara bermusim, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya sentiasa berada pada tahap yang tinggi.
Beliau berkata, rakyat juga perlu melihat tindakan JPJ sebagai usaha memastikan prinsip kedaulatan undang-undang dihormati oleh semua pihak tanpa mengira status, kedudukan ekonomi, bangsa atau kewarganegaraan.
“Undang-undang negara mesti dihormati. Sesiapa sahaja yang berada di Malaysia dan menggunakan kemudahan jalan raya perlu mematuhi peraturan yang sama,” katanya.
Dr Mustaffa menegaskan PAMM Kedah menyokong usaha semua agensi penguat kuasa memperkemaskan sistem pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
Beliau berharap tindakan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dapat mengelakkan wujudnya persepsi bahawa terdapat golongan tertentu yang kebal daripada tindakan undang-undang serta pada masa sama memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat tempatan terus terpelihara.
RENTAS7








Leave a Reply