Amanah terima kekalahan Tanjung Piai dengan kesedaran

KUALA LUMPUR– Kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak melemahkan semangat Parti Amanah Negara (Amanah).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, partinya menerima keputusan yang telah dibuat rakyat dengan terbuka namun penuh kesedaran.

“Keputusan ini tidak sedikitpun melemahkan semangat kami malah menyemarakkan lagi tekad untuk terus bekerja kuat memberi khidmat terbaik kepada rakyat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan pada PRK kali menuntut PH agar terus memperbaiki pemerintahan supaya rakyat dapat menikmati segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan.

“Di samping itu, kami juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti-parti dalam PH dan pada masa yang sama mempergiatkan lagi program-program penerangan kepada rakyat,”katanya.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi menewaskan lima calon lain.

Jeck Seng memperolehi 25,466 undi daripada 128 peti undi.

Pesaing terdekatnya calon PH, Karmaine Sardini pula mendapat 10,380 undi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.