PAMM bagi idea cara elak kenaikan harga barang

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI – Malaysia perlu keluar daripada kebergantungan import bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang dan kelemahan nilai Ringgit Malaysia (RM) yang kini semakin menekan rakyat negara ini.

Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Malaysia ( PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Malaysia mampu mengelakkan kenaikan harga barang sekiranya bijak memanfaatkan sumber bumi di negara sendiri.

“Kita sebuah negara yang kaya, banyak hasil bumi tetapi masih menjadi negara ‘pak turut’ kepada mainan ekonomi dunia.

“Apabila ringgit jatuh, harga barang naik. Kita terlalu selesa import barang sedangkan negara kita mempunyai kemampuan untuk berada keluar daripada penjajahan ekonomi,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, tindakan kerajaan memansuhkan sekatan import lembu dan kerbau sejak 15 Mac lalu dari Thailand membuktikan bekalan mentah dalam negara berada di tahap membimbangkan.

“Dahulu sekatan dibuat kerana kebanyakan haiwan ternakan di Thailand berpenyakit.

“Meskipun kerajaan menetapkan hanya lembu dan kerbau yang bebas dari penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) dan penyakit kuku dan mulut dibenarkan masuk, tapi apakah dapat dibuktikan semua haiwan di Thailand selamat dari penyakit itu?

“Pemansuhan tersebut tetap tidak menguntungkan negara kerana nilai mata wang RM kini semakin jauh ditinggalkan nilai Baht.

“Ketika ini RM10  jika ditukar dengan Thai Baht 10, kita hanya akan mendapat sekitar RM7 lebih. Baru dengan Thailand kita sudah tewas.

“Kelemahan RM akan terus menaikkan kenaikan harga barang dan kadar inflasi.

Justeru Musfaffa berkata, kerajaan disaran sekurang-kurangnya mewujudkan zon pengeluaran makanan asas untuk bekalan rakyat di setiap negeri bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang.

“Zon ini merangkumi zon pertanian, penternakan dan perikanan. Sebagai contoh jika Kedah dikenali dengan pertanian padi, di Perlis mungkin kerajaan boleh usahakan sebagai negeri perternakan lembu dan begitulah di negeri-negeri lain.

“Bekalan beras dari padi Kedah juga perlu diperluaskan kerana kita masih bergantung kepada beras import bagi menampung permintaan rakyat sendiri,”katanya.

Jelas Mustaffa, jika usaha mewujudkan zon pengeluaran makanan rakyat dapat direalisasikan, PAMM yakin negara boleh mengelakkan masalah inflasi.

“Untuk peringkat ini usahakan dahulu untuk cukupkan bekalan makanan mentah, kemudian barulah bergerak kepada penghasilan produk,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.