Hasrat lima lelaki Thai seludup ketum digagalkan ATM

Lima lelaki warga Thailand ditahan ATM pada 5 Mac lalu

PADANG TERAP– Taktik lima lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup keluar 11 guni daun ketum pada waktu malam di sini, digagalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Kedua Infantri Malaysia berkata, 11 guni daun ketum seberat 355.5 kilogram itu dirampas melalui sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Briged) pada malam 5 Mac lalu.

“Kejayaan tersebut adalah hasil maklumat daripada anggota bertugas yang berjaya mengesan kehadiran lima individu sedang melaksanakan aktiviti mencurigakan di laluan permatang kawasan tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkata, serbuan dilakukan Combat Tracking Team (CTT) yang diatur gerak ke kawasan berkenaan berjaya menahan tiga orang penyeludup serta 11 guni yang berisi 355.5 kg daun ketum.

“Tidak lama kemudian, dua orang penyeludup yang sedang bersembunyi tidak jauh dari kawasan berkenaan turut berjaya ditemui.

“Hasil keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 10,681.00 meliputi daun ketum dan wang tunai Ringgit Malaysia RM 16.00. Kesemua penyeludup dan barang rampasanan kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,”katanya.

Kenyataan berkata, ATM akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan kawalan di persempadanan negara dari sebarang bentuk pencerobohan samada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mahupun jenayah rentas sempadan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.