MBPK SK Batu Pekaka diperkasakan

Program-program dijalankan sepanjang Ramadan baru-baru ini

KUALA KETIL-Endemik bukan penghalang untuk melahirkan kemenjadian murid bekeperluan pendidikan khas (MBPK) SK Batu Pekaka, Kuala Ketil, Kedah.

Pelbagai aktiviti yang dirancang telah berjaya dilaksanakan di sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini.

Program dijalankan ialah
sesi Tadarus dan Khatam Al-Quran, Penyediaan Satu Hari Satu Juadah Berbuka Puasa, Uli-Uli Aidilfitri, Ketupat Daun Palas, Tazkirah Ramadan dan Hari Raya.

Pada program yang sama, MBPK turut diuji dengan kuiz dan ujian menghasilkan sampul dan kad raya.

Menurut Pengarah Projek program, Norhafiza Zakariah, program dijalankan tidak sekadar memupuk semangat kerohanian dalam kalangan MBPK.

“Tetapi mereka juga diberi pendedahan kemahiran psikomotor secara tidak langsung seperti kemahiran motor halus dan motor kasar di dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

“Pada masa sama, ia memupuk semangat ukhuwah di antara murid MBPK, guru-guru dan pembantu pengurusan murid (PPM),”katanya.

Beliau berkata penerapan kemahiran-kemahiran tersebut dapat mencungkil bakat di dalam diri murid-murid.

“Kita amat mengharapkan murid dapat mengaplikasikannya di masa-masa akan datang,”katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas Siti Rosni Ahmad melahirkan rasa kesyukuran dan mengucapkan syabas dan tahniah di atas komitmen yang begitu tinggi kepada semua guru pendidikan khas dan pembantu pengurusan murid (PPM) SKBP sepanjang program ini berlangsung.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Guru Besar SKBP, Encik Md Kamaludin bin Mat Akhir atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Panitia Pendidikan Khas SKBP dalam apa jua projek atau program yang dijalankan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.