Penguat kuasa KPDN tumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi

PUTRAJAYA, 13 Disember 2022 –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Telok Panglima Garang, Selangor pada semalam.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 1.15 petang.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan tiada individu ditemui berada di dalam premis terbabit namun terdapat sebuah lori yang didapati telah diubahsuai dan dua buah tangki (skid tank) yang berada di dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori dan tangki (skid tank) terbabit, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 23,325 liter selain pam bermotor, sebuah kereta dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Minyak diesel, kenderaan lori dan kereta serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 102,000.00.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

“KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta)
manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu
kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,”katanya.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Tegasnya, KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan
dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah
berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan
1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan
dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga
ke akar umbi yang boleh menyebabkan impak negatif kepada rakyat dan ngara,”katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti
penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan
yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.