Mustaffa Idrus terima mandat Parti Warisan, ajak tolak UMNO

Mustaffa duduk tengah bergambar kenangan bersama barisan AJK Warisan Negeri Kedah

SUNGAI PETANI– Kepimpinan Parti Warisan Malaysia memberi mandat kepada Datuk Mustaffa Idrus sebagai Ketua Parti Warisan Bahagian Jerai dan Ketua Penerangan Warisan Negeri Kedah berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu dibuat pada Mesyuarat Pelantikan AJK Warisan Kedah di Restoran Jeti Semeling petang ini.

Turut dilantik Dato’ Fadhil Hanafi selaku Pengerusi Perhubungan Warisan Negeri Kedah.

Mustaffa berkata, beliau berterima kasih kepada kepimpinan Parti Warisan Malaysia di atas kepercayaan diberikan.

“Saya akan melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan telus dan amanah.

“Amanah ini akan dipikul untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat. Mohon doakan saya,”katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Mustaffa menuntut rakyat menolak UMNO secara total pada PRU-15.

Beliau berkata, satu demi satu pemimpin UMNO dijatuhkan hukuman penjara menunjukkan parti itu menjadi liabiliti kepada rakyat sekiranya masih dipilih mentadbir negara.

“Rakyat wajib menolak UMNO kerana parti itu mengkhianati mandat rakyat.

“Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dijatuhkan hukuman penjara, kita yakin akan ramai lagi pemimpin parti itu akan mengalami nasib sama,”katanya.

Mustaffa berkata, hukuman dijatuhkan bukan beerti mahkamah atau kerajaan sengaja menzalimi pemimpin UMNO, sebaliknya ia adalah hukuman setimpal selepas mereka tidak jujur sewaktu memerintah.

“Parti Warisan menjadi sebuah platform terbaik bagi menggantikan UMNO pada PRU-15.

“Setakat ini tiada pemimpin Warisan dipenjarakan kerana masalah rasuah, ini menunjukkan parti ini diterajui pemimpin berintergriti,”katanya.

Mustaffa berkata, tidak menjadi masalah sekiranya Warisan diundi oleh rakyat Semenanjung walaupun asas parti itu ditubuhkan bagi memperjuangkan nasib rakyat di Sabah .

“Asasnya walaupun perjuangan untuk rakyat Sabah, tetapi secara keseluruhannya kita mahu memperjuangkan nasib rakyat Malaysia ke arah masa depan lebih baik.

“Seperti parti lain ditubuhkan di Semenanjung, tetapi bertanding di Sabah. Begitu jugalah dengan kami di pihak Warisan,”katanya.

Mustaffa berkata, rakyat boleh membuat penilaian parti manakah lebih baik antara Warisan dengan UMNO.

“Jangan tanya saya, tetapi setiap orang perlu tanya hati masing-masing.

“Selama ini, rakyat sudah boleh melihat parti manakah lebih ikhlas berjuang untuk rakyat.

“Warisan bukan parti baru dalam arena politik negara. Tetapi sebuah parti yang matang dan stabil,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.