Mukhriz yakin Kedah tak tumbang

ALOR SETAR– Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin kerajaan negeri akan kekal di bawah PH walaupun berstatus negeri pembangkang.

Memetik BH online, Mukhriz berkata, jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Bersatu dan PH mencukupi untuk gabungan itu memerintah.

Beliau berkata, Bersatu di peringkat pusat ialah sebahagian daripada Perikatan Nasional, namun di Kedah situasinya berbeza.

“Esok kita akan mengadakan mesyuarat EXCO seperti biasa kerana tugas kita adalah membangunkan negeri Kedah dan keutamaan untuk rakyat, mesti diteruskan.

“Buat masa ini kita masih kukuh sebagai sebuah kerajaan negeri selagi tidak ada seorang pun ADUN daripada PH dan Bersatu yang melompat ke sana, maka kita mempunyai bilangan (ADUN) yang cukup,” katanya seperti dilaporkan hari ini.

Mukhriz berkata, suasana politik ini diharap dapat ditenangkan demi rakyat.

“Kita berharap suasana ini dapat kita tenangkan kerana saya rasa rakyat sangat mengharapkan suasana politik dalam negeri ini tenang dan tenteram,”katanya.

Komposisi kerusi DUN Kedah ialah PAS tertinggi dengan 15 kerusi, PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), DAP (2) dan UMNO (2).

Rentas7.com Foto: FB Mukhriz Mahathir FC

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.