Tiga faktor utama PH Kedah masih bertahan pada hari keempat

ANALISIS POLITIK: Pakatan Harapan (PH) masih kekal mentadbir di Kedah walaupun dua negeri lain telah “ditawan” Perikatan Nasional (PN)

Johor dan Melaka secara rasmi menjadi milik PN selepas PH hilang sokongan majoriti, Perak dalam proses untuk mengikut jejak langkah dua negeri berkenaan

Tumpuan semua pihak kini terarah di Kedah.

Masuk hari keempat PN mengambil alih pentadbiran negara, PH Kedah masih lagi bertahan dengan kekuatan yang ada.

Menurut sumber, enam wakil rakyat Bersatu di negeri masih lagi menyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar. Situasi ketika ini menggambarkan PN terpaksa menunggu masa yang belum pasti untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, situasi itu mungkin akan berubah dari semasa ke semasa.

Sumber berkata, wakil terdekat dengan Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengadakan perjumpaan dengan enam ADUN berkenaan pada satu tarikh.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ialah PAS mempunyai I5 kerusi, PKR (7), Bersatu (6) Amanah (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Ketika ini, pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya dua lagi kerusi untuk membentuk kerajaan baru.

Tanpa DAP, apakah PAS Kedah sanggup menerima Amanah untuk membentuk kerajaan baru? wakil rakyat PKR pula belum menunjukkan petanda kukuh mahu bersama PN.

Berdasarkan perkembangan terbaru ini, tiga faktor dikenal pasti mengapa Kedah hingga kini masih bertahan.

1-Jawatan Exco akan hilang

Gaji lumayan 10 Exco Kedah bakal hilang sekiranya kerajaan negeri berubah pucuk pimpinan. Exco- Exco yang ada akan pasti dirombak mengikut corak pentadbiran baru. Mereka yang telah selesa dengan pangkat dan gaji pastinya tidak mudah untuk berhijrah.

Faktor utama ini dilihat mengapa masih belum ada mana-mana wakil rakyat terutamanya yang berjawatan Exco berani untuk “angkat kaki”.

2-Berharap usul undi tak percaya

PH kini dalam usaha mencabar kedudukan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac ini melalui usul undi tidak percaya.

Sidang berkenaan dilaporkan akan ditunda kepada satu tarikh lain bagi memberikan ruang kerajaan baharu membentuk barisan Kabinet.

Harapan melihat Muhyiddin tumbang sekaligus digantikan dengan Perdana Menteri (PM) baru amat diharapkan PH walaupun impian itu sukar dilaksanakan. Hal ini kerana PN dijangka lebih mantap selepas pembentukan Kabinet.

Ketika ini PH mendakwa mereka mempunyai sebanyak II4 sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM.

Situasi ini menyebabkan wakil-wakil rakyat PH Kedah masih mengambil sikap tunggu dan lihat.

3-Pengaruh sebagai anak bekas PM-7

Datuk Seri Mukhriz Mahathir berjaya membentuk suasana harmoni dalam kalangan rakan-rakannya dalam pentadbiran sejak mengambil alih pentadbiran Kedah pada PRU I4.

Mukhriz turut mengambil pendekatan berhemah dengan wakil rakyat pembangkang apabila berada di lapangan.

Mukhriz dihormati rakan-rakan dalam barisannya walaupun ada dalam kalangan Exco lain seperti berminat menggantikan beliau sebagai Menteri Besar.

Status Mukhriz sebagai anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad faktor sampingan beliau masih diberikan sokongan.

Rentas7.com/ Foto: Mukhriz Mahathir FC

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.