Kes cerai di tahap semakin serius di Malaysia

Rais sedang berucap dalam majlis berkenaan

JELEBU-“Dalam tempoh sembilan bulan antara
tahun lepas dengan tahun ini, sebanyak 66,481 kes perceraian berlaku di negara
ini.

“Negeri yang mencatatkan rekod tertinggi ialah Kelantan dan Selangor.

“Jika dibandingkan dengan kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam ialah 10,614 kes,”

Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim  (gambar) mendedahkan perkara ini ketika berucap semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat di Kampung Kuala Dulang dekat sini kelmarin .

Menurut beliau lagi, isu keruntuhan dalam institusi kekeluargaan ini amat membimbangkan dan menunjukkan nilai budi dan sistem kekeluargaan sudah pada tahap yang membimbangkan.

“Apa sudah jadi kepada “nilai kita, apa sudah jadi sistem kekeluargaan kita, apa sudah jadi kepada bimbingan adat, agama dan naluri masyarakat kita”ujarnya.

Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi turut mempersoalkan tentang jumlah penagih dadah yang semakin bertambah dalam kalangan
masyarakat Melayu.

Menurut beliau, 78 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih dadah adalah dalam kalangan orang Melayu.

Begitu juga dengan budaya “mat rempit” dalam kalangan masyarakat tersebut semakin berleluasa
ketika ini.

Justeru katanya, isu kebejatan sosial ini harus sama-sama difikirkan dan perlu
tindakan segera terutama dalam kalangan pemimpin masyarakat dan pemimpin politik.

“Peningkatan kes-kes ini jelas menunjukkan agar kita jangan bergaduh lagi.

“Bersatulah kita dalam muafakat untuk memperbaiki masyarakat”, katanya.

Beliau juga menyeru kepada 10 parti politik yang berteraskan Melayu agar bersatu dan menumpukan usaha untuk memulihkan kembali sistem masyarakat
di negara ini disulami dengan panduan agama dan adat.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Undang Luak Jelebu, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Haji Maarof Haji Mat Rashad, Dato’ Delapan
Lembaga Adat, tiga Pembesar Adat Jelebu dan para pemimpin masjid serta
surau.

Di majlis itu juga Yayasan Budi turut memberikan sumbangan kepada masjid
dan surau untuk digunakan selepas solat tarawih sepanjang Ramadan.

Rais di akhir ucapannya menyeru agar Kerajaan Negeri Sembilan
menghidupkan kembali adat Melayu di negeri tersebut dan bukan sekadar tinggal nama “Negeri Sembilan Nogori Beradat.

“Usaha perlu dibangunkan
semula untuk mengembalikan kegemerlapan dan amalan nilai-nilai adat perpatih di sembilan luak dan suku Biduanda di Negeri Sembilan,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.