PAMM nasihati peniaga bazar jujur dalam berniaga

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) menasihati para peniaga bazar Ramadan supaya jujur dalam perniagaan dengan tidak menjual makanan yang dipanaskan semula.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, tindakan seperti itu ibarat menipu pembeli.

“Hukum menipu dalam urusan jual beli adalah haram. Elakkan sumber rezeki yang halal dengan menipu.

“Walaupun PAMM tidak menerima aduan rasmi tetapi kami tuntut supaya semua peniaga bazar khususnya di Kedah bersikap jujur,”katanya kepada pemberita petang ini.

Beliau berkata, di media sosial beberapa kes melibatkan peniaga telah ditularkan.

Katanya, mengambil iktibar itu PAMM berharap pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan terhadap jualan makanan peniaga.

“Ada kes makanan basi, ada yang menjual lauk semalam. Sekalipun kes ditularkam belum dikesan di Kedah, ia bukan bermaksud Kita perlu mendiamkan diri.

“Tetapi sekiranya ada kes yang sama berlaku di negeri ini , kita harap pembeli membuat aduan kepada PAMM ataupun pihak berkuasa.

“Ini bagi memudahkan kes seperti ini diambil tindakan sekaligus menyelamatkan pembeli lain,”katanya.

Tambahnya, para peniaga dinasihati mengelakkan daripada menggunakan stapler (pengokot) dalam bungkusan makanan.

“Dawai stapler sangat bahaya dan boleh tertelan jika masuk dalam makanan seperti bengkang dan sebagai nya,”katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa menasihati para peniaga dan pembeli supaya menjaga kebersihan.

“Perangai suka buang sampah merata-rata bukan budaya orang Kedah.

“Jagalah kebersihan kerana ia dituntut dalam Islam. Jangan ambil mudah aspek kebersihan kerana ia melambangkan siapa diri kita,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.