123 menyertai pertandingan Kimia Invensi Dan Inovasi Malaysia (KI2M)

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2022 – Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Majlis Perasmian Penutupan dan Pengumuman Pemenang Bagi Pertandingan Kimia Invensi Dan Inovasi Malaysia (KI2M) 2022 anjuran Institut Kimia Malaysia (IKM) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.

KI2M yang diadakan bermula 4 Januari 2022 sehingga 10 Mei 2022 buat julung kali ini telah menerima sebanyak 123 penyertaan yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga universiti, ahli akademik, profesional, kakitangan institusi kerajaan atau swasta dan usahawan dalam kalangan orang awam secara amnya.

Antara objektif KI2M ini diadakan adalah untuk mewujudkan platform bagi
mempamerkan hasil inovasi, ciptaan dan reka bentuk serta memberikan kesedaran dan galakan kepada pakar untuk memulakan penyelidikan
berorientasikan produk dan memupuk budaya kreatif dan inovatif di negara
ini.

Sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan iaitu idea atau konsep di mana peserta perlu menghantar penyertaan dalam bentuk tesis lengkap
atau laporan rasmi; produk di mana peserta perlu menghantar produk sebenar dengan ciri-ciri inovasi atau inventif; dan projek di mana peserta
perlu menghantar projek sebenar dengan inovasi dan invensi kimia serta
komponen yang berkaitan.

Berucap semasa majlis tersebut, Adham Baba berkata penganjuran KI2M yang merupakan salah satu program sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 ini adalah bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang telah berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan serta memberi impak besar kepada perkembangan dan kemajuan masyarakat.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada rakan strategik program iaitu
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta penaja bagi program ini
iaitu Bank Simpanan Nasional.”

“Harapan saya agar Institut Kimia Malaysia dan penganjur-penganjur
bersama terus proaktif dalam usaha memperkasa budaya penghayatan
ilmu agar dapat memberi hasil yang pelbagai dimensi, berimpak tinggi
dengan kos yang minima,” kata beliau.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.