ALOR SETAR – Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah menyifatkan tindakan DAP dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang terus berkeras mempertahankan isu penternakan babi di Selangor yang dibimbangi cubaan mencetuskan ketidakharmonian kaum serta membelakangi institusi diraja ketika mereka dilihat semakin hilang sokongan rakyat dan dijangka tewas teruk di Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus berkata, tindakan mempertikai dan melawan titah Sultan Selangor merupakan perbuatan yang biadab serta berbahaya kerana boleh membakar sentimen rakyat hingga mencetuskan ketegangan kaum.
Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan sejarah hitam 13 Mei yang tercetus akibat provokasi melampau dan permainan sentimen perkauman sehingga mengorbankan nyawa serta menghancurkan keamanan negara.
“Jangan ada pihak cuba bermain api. Negara ini pernah berdarah akibat provokasi politik melampau. Kalau dibiarkan berterusan, tidak mustahil keadaan boleh menjadi semakin tegang dan membawa kepada situasi darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PAMM menyokong penuh dan menggesa semua pihak tanpa mengira parti politik supaya wajib mematuhi titah Tuanku Sultan Selangor.
“Jangan ada mana-mana pihak cuba bermain politik atau mencabar titah Tuanku semata-mata mahu meraih sokongan tertentu,” katanya.
Menurut beliau lagi, PAMM amat menggesa kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan tegas dengan memastikan tiada lagi aktiviti penternakan babi dibenarkan di mana-mana daerah dalam negeri itu, sama ada secara besar-besaran mahupun kecil-kecilan.
Beliau turut menegaskan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pemimpin politik yang mempertikai titah Sultan perlu dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
“Mana-mana ADUN atau pemimpin yang berani mempertikai titah Sultan wajib diheret ke muka pengadilan dan dipenjarakan.
” Jangan cuba menghasut rakyat melawan institusi diraja,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau mendakwa tindakan sesetengah pihak yang terus memainkan isu sensitif ketika sokongan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan DAP semakin merosot di Semenanjung dilihat sebagai usaha mencetuskan kemarahan rakyat dan ketegangan politik.
“Rakyat perlu berhati-hati. Apabila mereka melihat sokongan semakin hilang dan kekalahan besar dijangka berlaku dalam PRU akan datang, akan ada pihak cuba mencetuskan provokasi demi kepentingan politik sempit,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply