Bukan untuk pecah bangsa Melayu

Mustaffa

ALOR SETAR-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah menyokong kenyataan Naib Presiden PUTRA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bahawa parti itu bukan pemecah kaum Melayu.

Ketua Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, penjelasan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dalam satu pertemuan bersama kumpulan NGO dan barisan pembangkang di Kuala Lumpur baru-baru ini cukup jelas.

“Dalam pertemuan itu beliau (Azam) menegaskan kehadiran PUTRA yang ditubuhkan tahun lepas bukan untuk memecahkan lagi kaum Melayu.

“Tetapi PUTRA muncul kerana tidak ada parti sejak PRU14 yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu. Ia hakikat sebenar perlu diterima semua pihak,”katanya.

Beliau berkata, PUTRA walaupun masih baru dalam arena politik bagaimanapun tetap komited untuk membantu membina semula negara ini.

“Di bawah Pakatan Harapan (PH), asas-asas penting kedaulatan negara seperti institusi diraja, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kebangsaan ( Perkara 152) mula dicabar.

“Bahkan banyak lagi perkara menyentuh kepentingan Melayu disentuh. Justeru itu, kehadiran PUTRA bagi membela semula maruah bangsa kita,”katanya.

Tambahnya, perjuangan PUTRA juga amat jelas dan tidak terikut-rikut dengan rentak mana-mana pihak.

“Asas perjuangan kita amat terang dan jelas. Perjuangan PUTRA berlandaskan sistem Perlembagaan negara.

“Apa-apa perkara diganggu gugat akan kita perjuangkan sehingga ia kembali dipatuhi semua kaum,”katanya.

Beliau berkata, PUTRA juga memperjuangkan 10 perkara sumpah keramat tuntutan Melayu Bumiputera yang di zahirkan pada 28 Februari 2019.

Antaranya ialah jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan jawatan penting kerajaan mesti diisi orang Melayu.

Selain itu, 10 perkara itu juga mahu menghapuskan sistem sekolah vernakular, serta memperkukuhkan kedudukan raja-raja Melayu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.