PDRM runding dapatkan empat suspek ditahan di Thailand

PADANG BESAR– Polis berjaya menahan dua lagi rakyat Thailand di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar Perlis, hari ini.

Kedua suspek ditahan susulan kejadian tembakan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Memetik Berita Harian, dua lelaki berkenaan ditahan pada jam 7 pagi sekaligus menjadikan lapan suspek warga Thailand telah ditahan setakat ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (gambar) berkata, dua suspek tersebut tidak sempat melarikan diri selepas gagal melepasi tembok sempadan.

“Jadi apabila kami buat “sweeping” di ladang dan berlukar ( sekitar tempat kejadian), terserempak dengan dua orang ini,”katanya seperti dilaporkan hari ini.

Jelasnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berunding dan akan mengutuskan surat kepada Polis Diraja Thailand supaya empat suspek yang telah ditahan di negara itu diserahkan untuk diadili di Malaysia.

Sementara itu di Kangar, seramai 18 warga Thailand termasuk tempatan pada hari ini telah direman di Mahkamah Majistret antara empat hingga tujuh hari ini.

BH melaporkan, mereka yang direman membabitkan tiga warga Thailand dan 15 warga tempatan selepas disyaki terlibat dengan serangan ke atas anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar Perlis semalam.

Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah yang mendapat permohonan polis untuk melakukan siasatan telah mengeluarkan perintah tersebut.

Dalam insiden serangan jam tiga pagi ke atas anggota PGA oleh sindiket berkenaan mengorbankan Koperal Baharuddin Ramli,54 manakala anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari,39, mengalami parah.

Rentas7.com/ Foto: Polis Kedah

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.