APMM tahan empat nelayan Myanmar

Bot berpengkalan di Hutan Melintang Perak telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda

LUMUT– Empat nelayan Myanmar termasuk tekong yang menangkap ikan menggunakan bot tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka ditahan di kedudukan 8.2 batu nautika barat daya Pulau Jarak pada jam enam petang.

“Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Pulau Jarak telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan,”katanya.

Beliau berkata, bot berpengkalan di Hutan Melintang Perak telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda.

Menurutnya, ia juga menyalahi Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Myanmar berumur dalam lingkungan 27 hingga 42 tahun serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong dan kru serta bot ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak malam tadi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,”katanya.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.