Beras untuk kenduri arwah pun kena samun

Tiga kes kecurian telah berlaku di Kampung Pajak

BALING -Tak dapat barang berharga, empat kampit beras 10 kilogram yang akan digunakan untuk kenduri arwah pun jadi sasaran penyamun.

Mangsa, Ramlah Jaafar,66, dari Kampung Pajak Baling Kedah berkata, rumahnya dimasuki penjenayah pada jam kira-kira tiga pagi semalam (Khamis).

“Empat kampit beras tu saya nak guna untuk buat kenduri arwah pada 23 Mei ni. Sekitar waktu kejadian saya ada terdengar bunyi pelik, tetapi saya sangkakan kucing.

“Esoknya jam tujuh pagi barulah saya sedar kehilangan beras. Alat penimbang yang saya tinggal di halaman luar rumah turut dicuri. Bila diperiksa, saya lihat ada kesan pecah masuk melalui cermin tingkap bilik belakang,”katanya kepada RENTAS7.

Ramlah berkata, beliau bersyukur dirinya tidak diapa-apakan.

“Nasib baiklah bilik saya tidak dimasuki penjenayah itu. Nasib baik juga saya tak pergi melihat apa yang berlaku. Jika tak, tak tau lah jadi apa,”katanya yang telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung MKK Kampung Pajak, Mohd Amran Din berkata, kes terbaru menimpa warga emas tersebut adalah kes ketiga melibatkan pecah rumah di kampungnya.

“Kes pertama dan kedua berlaku pada bulan lepas. Ia melibatkan seorang jururawat dan warga emas.

“Tiga kes berlaku setakat ini melibatkan mangsa yang tinggal bersendirian,”katanya.

Setiusaha MKK Kampung Pajak, Mohd Latif Mahamud berkata, jururawat berkenaan kehilangan  RM 3000 duit tabung manakala seorang lagi mangsa iaitu warga emas kehilangan kira-kira RM800.

Sementara itu, ADUN Kupang, Brigadier Jeneral (Bersara) YB Dato’ Najmi Ahmad menziarahi mangsa dan menyampaikan bantuan tunai dan bakul makanan.

“Kehadiran saya adalah untuk bertanya khabar mangsa termasuk mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada pihak MKK tentang kes ini.

“Selain bimbang dengan keselamatan warga, saya juga mahu melihat punca utama kes ini sama ada  kes curi ini berlaku kerana pelaku tak cukup makan atau memang tujuan untuk menyamun ,”katanya.

Beliau berkata, penduduk memaklumkan kes berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan masalah penagihan dadah di kampung itu.

Justeru beliau berharap komuniti kampung dapat lebih berjaga-jaga dengan mengambil peranan membuat kawalan kampung selain tindakan pihak berkuasa menangkap penjenayah terbabit.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.