Pendaftaran vaksin di Baling masih rendah

Taklimat kesedaran suntikan vaksin kepada semua JPKK DUN Kuala Ketil di PUTIK

KUALA KETIL– Pendaftaran bagi suntikan vaksin di Baling masih di paras tidak memuaskan.

Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah berkata, data semasa di Baling menunjukkan baru 20,000 orang yang mendaftar bagi suntikan vaksin sedang sasaran kerajaan di daerah ini ialah seramai 106,000 orang.

“Kita di daerah Baling ini baru 20,000 orang yang mendaftar sama ada melalui My Sejahtera, laman web dan sebagainya.

“Sedangkan kita ‘target’ 106,000 orang. Maknanya kita perlukan lebih 80,000 orang lagi dalam daerah Baling untuk didaftarkan,”katanya dalam satu pertemuan bersama Pengerusi, Setiausaha dan AJK Jawatan Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi seluruh DUN Kuala Ketil di Pusat Tarbiah Islam Kuala Ketil (PUTIK), baru-baru ini.

Mohd Shahadan Abdullah

Beliau berkata, pengambilan vaksin akan mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam komuniti.

“Kita mesti kena ambil, sebab bila kita ambil kita telah melindungi diri kita, dan bila semua orang ambil mereka telah membuat perlindungan diri,” katanya.

Hadir sama dalam progam ini adalah Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kuala Ketil, Abd Halim Abd Kadir.

Beliau mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.