Pemuda cari cacing ditemui lemas

YB Najmi kiri, Zuraidi tengah sedang mendengar sesuatu daripada pihak polis

BALING-Seorang pemuda yang hilang selepas kali terakhir dilihat mencari cacing pada petang semalam ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas di Lata Bayu hari ini.

Muhammad Luqman Zuraidi,56, dari Kampung Bakong ditemukan meninggal dunia di kawasan lubuk oleh pasukan penyelamat pada jam 11 pagi.

Ayah mangsa, Zuraidi Yaacob,56, berkata, mangsa pergi ke Lata Bayu untuk berkhelah bersama tiga rakan-rakannya.

Menurutnya, dia mengetahui berita kehilangan anak sulung dari tiga beradik itu pada jam 9 malam sebelum membuat laporan polis.

“Kawan-kawan anak datang ke rumah saya dan maklum tentang berita kehilangannya.

“Menurut maklumat kawan-kawan dia, Luqman kali terakhir dilihat sedang mencari cacing pada jam lebih kurang 5.30 petang, tak jauh dari kawasan mereka memasak mi segera,”katanya kepada RENTAS7.

Menurutnya, Luqman hanya disedari hilang pada jam lebih kurang enam petang selepas rakan-rakannya mahu memanggilnya untuk makan.

“Mulanya mereka sangka dia pulang, tapi bila tengok motosikal dia (mangsa) masih ada, maka kawan-kawannya mencari di merata tempat,”katanya.

Zuraidi kemudiannya dengan bantuan penduduk kampung melakukan pencarian di sekitar kawasan air terjun Lata Bayu pada jam 10.30 malam.

Pencarian yang mengambil masa beberapa jam itu menemukan jalan hampa.

Terdahulu, ADUN Kupang, Brigadier Jeneral (Bersara) YB Dato’ Najmi Ahmad turun padang ke Lata Bayu untuk mengikuti operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Pemimpin itu dilihat turut meluangkan masa bertemu dan berbual serta menyampaikan sumbangan peribadi.

Operasi SAR melibatkan Polis Baling, Bomba Baling, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, penduduk kampung serta seekor anjing pengesan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.