155 PATI ceroboh Sabah ditahan

155 PATI berusia setahun hingga 77 tahun dicekup dalam Op Patuh Bersepadu di Tawau

TAWAU– Seramai 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia setahun hingga 77 tahun dicekup dalam Op Patuh Bersepadu dekat sini kelmarin.

Operasi bermula malam Rabu hingga awal pagi Khamis itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Razman Maznan.

Serbuan dibuat di Kilang Jalan Tanah Merah Merotai dan di Batu 5 Kampung Kilang Cermin, Jalan Kinabutan membawa kepada tangkapan 69 lelaki, 86 perempuan dan 39 kanak-kanak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, seramai 182 diserbu dalam operasi tersebut dengan 155 daripadanya ditahan atas pelbagai keselahan.

Menurutnya, operasi berkenaan memberikan tumpuan kepada majikan yang mengambil, melindungi dan membawa masuk PATI ke negara ini.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak terlibat dalam mengambil dan melindungi PATI,”katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk tanpa passport atau pas yang sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.

“Majikan pula dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan PATI masuk atau tinggal di dalam premis demi kepentingan sendiri selaku penyelia atau pengurus premis,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.