Tak perlu besarkan isu gurauan Sanusi

Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Gurauan kasar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak wajar dijadikan isu besar oleh pembangkang.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Kedah (PAMM) Datuk Mustaffa Idrus berkata, ada perbezaan antara berseloroh dan jawapan.

“Sebenarnya gurauan itu tidak salah jika ia hanya antara Sanusi dan media. Beliau hanya berseloroh. Apakah itu pun mahu ditafsir sebagai jawapan? Tetapi kenyataan itu telah mengundang kenyataan ramai apabila ia telah ditularkan.

“Dalam konteks ini, saya lihat kesalahan sebenar adalah pada individu menularkan video itu, yang dilihat mempunyai maksud dan kepentingan tertentu,”katanya hari ini

Katanya, beliau melihat Sanusi berseloroh untuk mematikan soalan wartawan yang mengasaknya dengan soalan-soalan yang boleh memberikan tafsiran buruk kepada kerajaan negeri jika tidak dijawab secara berhati-hati.

Beliau berkata, di sebalik guruan kasar itu, semua pihak perlu mengakui bahawa Sanusi sedang melakukan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini.

“Di bawah pimpinan beliau, program vaksinasi diperluas dan dipertingkat. Kerajaan negeri juga telah membelanja RM 6.56 juta sejak Jun lalu bagi pelbagai jenis bantuan COVID-19 sejak Jun lalu.

“Bagaimanapun Sanusi dinasihat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutamanya ketika negara sedang bergelut COVID-19. Semoga apa terjadi memberikan pengajaran kepada beliau,”katanya.

Gurauan Sanusi kepada wartawan yang tular di media sosial sejak semalam mengundang kemarahan dan kecaman ramai.

Sanusi yang menjawab kenyataan wartawan tentang jumlah kontena jenazah di setiap hospital mengatakan jumlahnya mencukupi dan siapa mahu masuk perlu memberikan nama.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.