Tradisi dan asal usul bubur Asyura

KUALA KETIL-Tradisi memasak dan mengacau bubur Asyura tidak lekang daripada umat Islam setiap kali masuknya 10 Muharram.

Sambutan itu telah lama diamalkan di kebanyakan negara termasuklah di Malaysia yang dahulunya dikenali Tanah Melayu.

Di Tanah Melayu, majoriti umat Islam sejak dahulu hingga kini mengamalkan Mazhab Imam Syafie.

Namun, timbul cakap-cakap bahawa tradisi menyediakan makanan bubur Asyura ialah amalan daripada syiah.

Benarkah begitu?

Bagi mengulas lanjut topik ini, wartawan Rentas7.com mendapatkan jawapan daripada pendakwah dan guru agama, Syeikh Dr. Abdulllah Al Yamani.

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari ikuti kupasan Syeikh Dr. Abdulllah berkenaan sejarah datangnya sambutan 10 Muharram.

Beliau berkata, nama Hari Asyura berasal daripada “Asyara” yang bermaksud 10. Ini kerana Hari Asyura ialah hari ke-10 dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharram.

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, Baginda terjumpa dengan sekumpulan kaum Yahudi Madinah yang berpegang dengan ajaran Nabi Musa A.S.

Dalam pertemuan itu, Baginda mendapati mereka sedang berpuasa pada hari 10 Muharram.

Tertarik dengan amalan ibadah dilakukan itu, Nabi Muhammad S.A.W bertanya sebab-sebab yang membuatkan mereka berpuasa.

Syeikh Abdullah berkata, mereka menjawab bahawa tindakan itu bagi melahirkan rasa kesyukuran di atas bantuan ALLAH yang menyelamatkan Nabi Musa AS daripada musuhnya firaun pada 10 Muharram.

Maka Nabi SAW bersabda: Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa berbanding kamu. Dengan itu, Rasulullah S.A.W berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.” [Riwayat Muslim (1130),”katanya.

Menurutnya, sejak itu, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat berpuasa sunat pada 10 Muharram .

“Fadhilat berpuasa pada 10 Muharram seperti dijanjikan Nabi Muhammad adalah ALLAH menghapuskan dosa orang yang berpuasa selama setahun yang lalu,”katanya.

Beliau berkata, dalam satu lagi sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam makna hadis, Baginda menggalakkan umat islam pada 10 Muharram meraikan anak-anak dengan memberikan mereka makanan dan hadiah.

“Contohnya jika kita kebiasaaannya memakan makanan yang sama, pada hari 10 Muharram pula kita digalakkan meraikan anak-anak dengan memberikan makanan istimewa termasuk hadiah,”katanya.

Syeikh Dr Abdullah mendedahkan asal usul bubur Asyura

Asal Usul Bubur Asyura

Syeikh Dr. Abdulllah berkata, asal usul bubur asyura ialah hasil penentangan pengaruh syiah oleh umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pada tahun 352 Hijrah di bawah pemerintahan kerajaan Amawiyah di Syam, kaedah sambutan 10 Muharram yang dianjurkan Nabi Muhammad S.A.W dipesongkan golongan syiah.

Syeikh Abdullah berkata, golongan syiah pada zaman itu iaitu Syiah Buaihiyah menyambut 10 Muharram dengan memukul dan mencederakan badan.

“Mereka melakukan perbuatan itu bagi mengenang cucu Nabi Muhammad S.A.W yang dibunuh pada 10 Muharram. Ketua mereka adalah Muizudaulah Bin Buih.

“Di bawah kerajaan berpaksi Syiah itu, semua kedai pada zaman itu diarahkan tutup setiap kali 10 Muharram.

“Penduduk diarahkan keluar mencederakan badan bagi mengenang al Husain. Pada zaman itu, ramai yang berfahaman Syiah berbanding Ahli Sunnah Wal Jamaah,”katanya.

Kedatangan Bubur Asyura…

Bagi memastikan akidah anak-anak Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak terpesong dengan pengaruh syiah, umat Islam pada zaman itu meraikan 10 Muharram dengan kaedah berbeza.

“Mereka raikan dengan ikut cara Nabi Muhammad iaitu berpuasa sunat asyura dan meraikan anak-anak.

“Cara meraikan itu ialah dengan mengumpul anak-anak mereka dan bersama-sama memasak bubur Asyura.

“Disebabkan kedai-kedai semua ditutup pada 10 Muharram, umat Islam memasak bubur Asyura menggunakan apa yang ada,”katanya.

Katanya, bubur Asyura dimasak pada waktu dimasak menggunakan bahan-bahan seperti kacang, jagung ,manisan dan tepung dan sebagainya.

“Ada tempat menggelarkanya dengan kacang Asyura ada yang menamakan dengan bubur Asyura.

“Tradisi itu berkembang ke negara negara Islam yang lain islam termasuk tanah Melayu (Malaysia).

“Maka jika yang mengatakan bubur Asyura itu datang dari syiah ia tidak betul sama sekali.

Syeikh Dr Abdullah mengesahkan amalan memasak bubur Asyura bukan daripada syiah

“Semua fakta yang saya berikan ialah dari rujukan Tarikh al Islam, Annjum azzahirah dan albedayah wannihayah serta sumber sahih yang lain,”katanya.

Beliau berkata, masyarakat diharap dapat berkongsi ilmu yang disampaikannya ini kepada yang lain supaya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah terus dimantapkan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.