“Jangan petik nama YDPA untuk kepentingan politik atau peribadi”- Istana Negara

KUALA LUMPUR– Istana Negara tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak yang menggunakan nama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Institusi agama untuk menyebarkan berita palsu bagi kepentigan politik atau peribadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadhil Shamsudin berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Istana Negara sentiasa memantau dan memandang serius terhadap kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media yang menggunakan nama dan menyebarkan foto-foto KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Istana melalui aplikasi WhatsApp.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak Istana tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Dalam masa yang sama, Istana Negara menyarankan rakyat tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.

“Istana Negara turut menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama untuk mengelakkan tindakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.